Keratan Akhbar 1

Setanding coklat import

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

Noor Dina Mohd. Tajuddin dan Siti Rofiah Hambali sedang melihat pekerja-pekerjanya melakukan proses penstabilan kristal atau tempering.


MENCEBURI bidang ini bukanlah suatu yang mudah kerana banyak persaingan terutamanya daripada syarikat pembuatan coklat multinasional, ditambah lagi dengan persepsi masyarakat yang menyatakan coklat buatan tempatan tidak menepati cita rasa sebenar.

Stigma negatif itulah yang menjadi kekangan kepada syarikat pembuatan coklat tempatan sehingga mengikat mereka untuk terus maju dan mengkomersialkan produk mereka ke pasaran dalam negara dan seterusnya ke luar negara.

Namun, bagi Dazzle Food Sdn. Bhd. (Dazzle), sebuah syarikat pembuatan coklat buatan tangan, stigma itu tidak menjadi halangan kerana yakin bahawa kualiti produk yang dimilikinya berjaya membatasi segala persepsi tersebut.

Pengurus Besarnya, Noor Dina Mohd. Tajudin, berkata, Dazzle yang ditubuhkan pada tahun 2005 itu sentiasa memastikan bahawa kualiti produknya meliputi rasa, pembungkusan dan proses pembuatan adalah setanding coklat import.

‘‘Ini terbukti apabila permintaan semakin bertambah dari tahun ke tahun, lokasi jualan juga telah dinaik taraf, bukan lagi di kedai-kedai biasa, malah pasar raya telah mula yakin dengan produk ini, begitu juga dengan pasaran ke luar negara menerusi ekspo-ekspo perdagangan yang diadakan.

‘‘Kini Dazzle boleh berbangga dengan kejayaan bagi menembusi stigma yang menyatakan coklat tempatan tidak lazat atau pahit atau masih di tahap ‘kekampungan’.

“Ia kini telah diterima di peringkat antarabangsa malah setanding dengan coklat peralin Belgium yang terkenal dengan kelazatannya,’’ katanya ketika ditemui di kilangnya di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Noor Dina, 27, sebenarnya teknologi dan pembuatan coklat tempatan telah mencapai tahap yang terkini malah ada yang mampu menggunakan mesin-mesin seperti mana yang digunakan di kilang-kilang besar.

Begitu juga dengan teknik dan rasa yang telah melalui proses penambahbaikan sehingga menepati rasa seperti coklat import.

Menceritakan mengenai penglibatannya dalam dunia pembuatan coklat ini, Noor Dina berkata, segalanya bermula kerana ibunya, Siti Ropiah Hambali, yang mengambil kursus dalam pembuatan coklat sebelum bersara dahulu.

‘‘Selepas sahaja bersara pada tahun 2005, ibu mula mengusahakan pembuatan coklat tangan ini secara kecil-kecilan tetapi dilihat ia semakin diminati dan permintaan bertambah.

‘‘Setelah setahun Dazzle beroperasi dan saya melihat peluang untuk bisnes ini semakin berkembang, maka saya pula berhenti kerja dengan sebuah bank bagi membantu ibu.

‘‘Dengan bantuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta kerjasama Sirim Berhad dalam mereka bentuk pembungkusan yang lebih komersial, banyak pihak mula yakin dengan kami ditambah pula kualiti produk yang setanding dengan coklat import,’’ katanya.

Tambah lulusan Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Usahawan, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), daripada hanya ada beberapa produk coklat pada peringkat awal, kini ia telah meningkat kepada 12 semuanya.

‘‘Kini, produk Dazzle telah menerima tempahan dari pasar raya, kedai-kedai, individu dan syarikat korporat untuk dijadikan hamper dan cenderamata. Harganya juga tidak mahal cuma daripada RM1 hingga RM50,’’ ujarnya.

Ibu kepada seorang putera, Adi Zikry Ahmad Faris, 2 bulan, ini berkata, istimewanya coklat Dazzle ialah ia buatan tangan kerana proses pembuatannya tidak menggunakan mesin..

‘‘Kebanyakan produk kami terdiri daripada coklat peralin yang lebih dikenali sebagai coklat Belgium yang sememangnya terkenal dengan keenakan dan kaya dengan coklat dan kandungan kekacang yang lazat. Yang paling penting ialah ia adalah coklat peralin yang halal. Di samping itu, kami turut mengeluarkan coklat bar dengan pelbagai perasa,’’ katanya.

Menurut Noor Dina, Dazzle juga turut memperkenalkan coklat perasa buah-buahan seperti durian, roselle, oren, strawberi dan mint untuk memberi kelainan.

Sementara itu, ibunya, Siti Ropiah yang dari mula pertemuan itu membiarkan anaknya menjawab segala soalan, mencelah bagi menokok tambah isi dan cerita di sebalik kejayaan Dazzle.

“Dazzle diambil daripada perkataan Dazzling bermaksud yang mempesonakan dan menarik kerana coklat ialah makanan yang boleh mempesonakan,’’ katanya.

‘‘Saya bersyukur banyak agensi kerajaan yang membantu dalam kerja-kerja pemasaran dan pembangunan dan penyelidikan (R&D). Tanpa mereka, Dazzle tidak akan meniti ke tahap sekarang,’’ katanya dengan harapan Dazzle akan menembusi pasaran luar negara menjelang akhir tahun ini.

Bagi yang berminat untuk menjadi agen atau mendapatkan produk Dazzle, boleh hubungi 019-3369040 atau datang ke No. 5A, Jalan Langat Ceria 4, Taman Langat Ceria, Hulu Langat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: